Thursday, 10 October 2019

BBM3410Satu2019: ULASAN BAB 6 BLOG DI DALAM KELAS BAHASA

Blog merupakan salah satu medium komunikasi pada era kini. Melalui blog, semua lapisan masyarakat termasuklah pelajar boleh berkongsi pengalaman, pendapat dan komen masing-masing terhadap sesuatu topik atau isu yang dibincangkan. Namun, pelajar mestilah sentiasa berhati-hati ketika menghasilkan blog kerana bimbang penulisan itu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014), blog merujuk kepada satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal. Blog boleh digunakan sebagai jurnal atau diari peribadi. Blog juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan. Peniaga biasanya menggunakan blog untuk mempromosikan dan memperiklankan produk mereka. Seterusnya, Li dan Chignell (2010) mentakrifkan blog sebagai salah satu laman web yang mesra pengguna di mana ia senang diuruskan dan sentiasa dikemas kini oleh pentadbir atau penulisnya. Oleh kerana blog menjadi rangkaian sosial dan medium komunikasi, blog membolehkan penggunanya untuk berinteraksi dengan penulis blog yang lain.

Seterusnya, Ferdig dan Trammmell (2004) menyatakan blog sebagai medium dialog di antara penulis blog dengan pembaca, pembaca dengan pembaca lain dan penulis blog dengan penulis blog yang lain. Jelaslah di sini bahawa blog mampu menghubungkan semua pihak tanpa had. Seterusnya,Wang dan Woo (2008) menyatakan bahawa blog merupakan alat teknologi yang menawarkan peluang kepada pengguna untuk menyusun maklumat, menyiar dan berkongsi idea, maklum balas, memberi komen, menilai hantaran dari orang lain, belajar daripada orang lain, bertanggungjawab terhadap penulisan dan pembelajaran mereka dan meletakkan pendapat mereka dalam penulisan.

Zaini (2012) pula menyatakan bahawa  penggunaan blog mampu membantu pelajar membentuk kemahiran menulis dalam pembelajaran bahasa. Blog juga memberi peluang kepada pelajar untuk belajar satu persatu istilah dari segi idea, tatabahasa dan struktur ayat, perbendaharaan kata dan cara susunan penulisan mereka. Blog turut membantu pelajar menerokai idea, mencipta pautan  di antara kebiasaan dan tidak kebiasaan, bersedia untuk memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku  pada masa mendatang dan memahami sesuatu perkara dengan terlebih dahulu sebelum menjelaskan, menerangkan dan menyebarkan kepada pihak lain.

Kesimpulannya, blog mempunyai peranan yang tersendiri dalam meningkatkan tahap pembelajaraan pelajar. Blog bukan sahaja membantu pelajar menguasai bidang teknologi bahkan juga bidang bahasa.




No comments:

Post a Comment

BBM3410SATU2019: KETIKA DAN KALIMAT

Assalamualaikum. 🌸Pada semester akhir di Universiti Putra Malaysia saya dan rakan seperjuangan Bahasa dan Linguistik Melayu (BLM) yang ...