Sunday, 22 September 2019

BBM3410Satu2019 : ETIKA PENULISAN BLOG

           Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam buku Eh Media Sosial oleh Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), etika penulisan   blog yang pertama ialah menggunakan tajuk yang boleh menarik perhatian pembaca. Tajuk yang biasanya mencuri perhatian umum ialah tajuk yang dimulakan dengan perkataan tips, teknik, cara melakukan sesuatu, pengalaman dan sebagainya. Tajuk tersebut juga mestilah mudah dicari, disebut, sesuai dan ringkas iaitu tidak melebihi 10 patah perkataan. Tajuk yang panjang berjela menyebabkan pembaca hilang minat untuk membuka blog berkenaan apatah lagi untuk membacanya sehingga ke perkataan terakhir.


Etika penulisan blog yang kedua ialah memasukkan cerita menarik yang dapat menarik perhatian pembaca. Antara cerita yang disukai oleh pembaca ialah cerita mengenai fashion, kecantikan, makanan, tempat-tempat pelancongan dan pelbagai lagi. Setiap cerita ini boleh disertakan dengan gambar yang bersesuaian.


Etika penulisan blog yang ketiga ialah memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk menjadikan blog lebih menarik. Penulis yang diikuti ramai ialah penulis yang mampu menyelitkan sedikit jenaka yang mencuit hati lebih-lebih lagi dalam penulisan santai. Penulisan yang sarat dengan maklumat dari awal hingga akhir menyebabkan pembaca cepat bosan dan segera ingin keluar dari blog tersebut.


Etika penulisan blog yang seterusnya ialah mempunyai hujah yang terbaik yang berjaya menyakinkan pembaca. Penulis perlu memastikan setiap penulisannya disertakan dengan hujah yang boleh diterima supaya segala apa yang ditulis tidak diragui dan dipersolkan kelak. Oleh itu, penulis blog tidak boleh sewenang-wenangnya menulis.


Etika penulisan blog yang kelima ialah mengaitkan penulisan dengan berita terkini. Hal ini demikian masyarakat pada era kini lebih gemar membuka blog-blog yang terdapat di google menggunakan gadget untuk mengetahui berita semasa dan terkini berbanding menelaah akhbar yang semakin lama semakin kurang pembelinya. Maka, penulis perlu mengetahui isu-isu terkini dan mengulas kembali dalam blog mereka.


Etika penulisan blog yang keenam ialah menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.  Penulis digalakkan menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh semua pembaca yang terdiri daripada latar belakang dan tahap pendidikan yang berbeza. Hal ini demikian kerana apabila penulis menggunakan perkataan atau istilah yang sukar ia mungkin boleh mengelirukan pembaca. Penulis juga mesti menggunakan ayat ringkas iaitu ayat yang mengandungi satu subjek dan predikat.


Etika penulisan blog yang ketujuh ialah menghasilkan penulisan yang dapat dibaca dan difahami. Penulisan yang baik ialah penulisan yang hanya mengandungi satu idea dalam satu perenggan. Idea tersebut disampaikan dengan menggunakan ayat yang pendek kerana ayat demikian mudah difahami. Jika penulis menyumbat banyak perkataan dalam satu ayat ia secara tidak langsung dapat menjejaskan pembacaan pembaca.


Etika penulisan blog yang seterusnya ialah sentiasa berkomunikasi dengan pembaca. Seseorang penulis akan disegani ramai apabila penulis tersebut bersedia menjawab semua soalan yang diajukan oleh pembaca blog mereka di bahagian komen. Tindakan ini membantu pembaca memahami dengan lebih mendalam berkenaan maklumat yang disampaikan penulis. Hal ini juga secara tidak langsung membantu penulis memperoleh kenalan baru.

Etika penulisan blog yang terakhir ialah  blog mestilah berilmu untuk penulisan pendidikan. Hal ini membawa maksud penulis adakalanya perlu menulis blog yang bersifat ilmiah atau lebih bersifat pendidikan. Penulisan tersebut dapat mendidik masyarakat sekaligus dapat dijadikan rujukan oleh golongan yang memerlukan terutamanya pelajar di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

No comments:

Post a Comment

BBM3410SATU2019: KETIKA DAN KALIMAT

Assalamualaikum. 🌸Pada semester akhir di Universiti Putra Malaysia saya dan rakan seperjuangan Bahasa dan Linguistik Melayu (BLM) yang ...