Monday, 30 September 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA

Assalamualaikum.

Apa yang dimaksudkan dengan keluarga? Keluarga ialah sekumpulan manusia yang paling dekat dalam hidup kita. Begitu juga dengan saya. Tanpa keluarga saya yakin saya tidak mampu untuk menghasilkan penulisan ini. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana tapi cukup bahagia.

Tunjang utama dalam keluarga saya sudah pasti ibu saya. Ibu saya bernama Syarifah binti Mat. Ibu saya dilahirkan di Kuala Terengganu dan berusia 45 tahun. Ibu saya merupakan anak tunggal. Ibu saya bekerja sebagai peniaga pada setiap hari Jumaat di Pasar Tani. Pada musim perayaan, ibu saya juga mengambil tempahan menjahit baju. Ibu saya seorang wanita yang kuat. Meskipun letih mengerah tenaga bekerja untuk menyara anak-anak, namun sekalipun ibu tidak pernah mengeluh. Keutamaan ibu saya ialah kesenangan, keselesaan serta kejayaan anak-anaknya. Anggota keluarga saya yang seterusnya ialah ayah saya. Ayah saya bernama Mohamad Sahabudin bin Awang. Ayah saya ialah anak jati Kelantan. Ayah saya kini berusia 49 tahun. Ayah saya merupakan anak kedua dalam keluarga. Ayah saya bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik 1 Malaysia Kuala Krai, Kelantan.

Saya juga mempunyai tiga orang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Nama adik perempuan saya yang pertama ialah Nurul Athirah. Athirah berusia 20 tahun. Athirah  merupakan pelajar tahun dua di Universiti Sains Malaysia. Adik kedua saya pula bernama Ahmad Azri. Azri berusia 18 tahun dan kini menyambung pengajian di UniKL Miat. Adik saya yang seterusnya ialah Ainul Mardiah dan Ain Najwa. Kedua-dua masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah. Saya dan adik-beradik saya sangat akrab. Walaupun kami sering bergaduh tapi pergaduhan itu tidak berpanjangan kerana kami akan berbaik semula hanya dalam beberapa minit.  

BBM3410Satu2019: TIPS BELAJAR DENGAN MUDAH


Assalamualaikum.

Hari ini saya mahu berkongsi dua tips untuk belajar dengan mudah dan berkesan. Tips ini boleh diguna pakai oleh semua lapisan umur bermula sekolah rendah, menengah dan peringkat pengajian tinggi.

Tips yang pertama ialah belajar dalam suasana atau keadaan yang selesa. Sebelum memulakan proses pembelajaran, pelajar mestilah mencari tempat yang sesuai seperti di bilik bacaan, perpustakaan dan pelbagai lagi untuk menelaah. Hal ini demikian kerana, seperti yang sudah sedia maklum tempat yang disebut di atas, sunyi dan bebas dari sebarang kebisingan. Tempat-tempat demikian juga tidak terlalu gelap. Suasana yang gelap tidak sesuai dijadikan tempat belajar kerana bimbang pelajar akan cepat mengantuk.

Tips yang kedua pula ialah membuat nota ringkas. Hal ini demikian kerana nota yang panjang berjela-jela menyebabkan pelajar cepat bosan. Oleh itu, pelajar digalakkan membuat nota sendiri mengikut kreativiti masing-masing. Nota yang terbaik ialah nota yang ringkas dan padat. Nota juga boleh ditulis menggunakan akronim serta dibuat dalam bentuk carta. Nota berkenaan boleh ditampal di tempat yang mudah dilihat dan dibaca seperti di sisi katil atau di meja bacaan.



Thursday, 26 September 2019

BBM3410Satu2019 : MASIH DI SINI

Assalamualaikum.
Pada hari ini saya akan menceritakan salah satu pengalaman terbaik yang dilalui sepanjang menjadi penuntut Universiti Putra Malaysia. Pengalaman yang dimaksudkan ialah pengalaman mempelajari bahasa asing. Pada semester 1 iaitu tiga tahun yang lalu, saya diwajibkan mengambil satu subjek bahasa asing sebagai bahasa ketiga. Memandangkan bahasa asing yang agak digemari ramai seperti Arab, Mandarin dan Jepun sudah penuh kuotanya maka saya dengan terpaksa menghayun kaki ke pejabat am untuk mendaftarkan diri dalam kelas bahasa asing Thai.

Bahasa Thai diajar oleh pensyarah kelahiran negara gajah putih, Thailand iaitu Jittima Jehmong atau lebih mesra dipanggil kruni (guru dalam bahasa Thai). Jujur pada  mulanya agak susah kerana bahasa Thai jauh berbeza dengan bahasa Melayu. Bahasa Thai mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri. Bahasa Thai juga mempunyai lima intonasi seperti mendatar, tinggi, rendah, turun dan naik. Namun lama-kelamaannya saya semakin berminat untuk mempelajari lebih mendalam tentang bahasa Thai. Dalam kelas bahasa Thai saya bukan sahaja diajar mengenal huruf, angka, perkataan,  dan membuat ayat malah turut diajar menyanyi dan berlakon untuk memantapkan lagi sebutan bahasa Thai.

Kelas bahas Thai juga memberi peluang kepada saya untuk menyambut Pesta Songkran iaitu sambutan tahun baru masyarakat Thai. Pada hari berkenaan semua orang menyimbah air ke arah satu sama lain. Masyarakat Thai percaya acara itu merupakan simbolik membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tidak baik. Dengan mengikuti kelas bahasa Thai saya juga berkesempatan memakai pakaian dan merasa makanan tradisional Thai pada hari Cultural Day.




  

Sunday, 22 September 2019

BBM3410Satu2019 : NENEK DAN DATUK

Cerita Sosial 1 mengisahkan seorang budak lelaki bernama Alim yang teruja untuk pulang ke kampung nenek dan datuknya di Kajang. Sebaik sampai, Alim terus keluar mencari ayam dan itik. Alim menangis apabila tidak menemui apa yang dicari. Nenek memujuk Alim dengan menunjukkan sekumpulan ayam dan itik yang berada di dalam reban baharu. Seterusnya, Alim masuk ke dalam rumah dan sekali lagi menangis apabila melihat keadaan rumah nenek berubah. Keluarga Alim sedih dengan kelakuan aneh Alim yang nampaknya terlalu rindukan suasana kampung yang dulu.

Dirujuk daripada buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi, Normaliza Abd Rahim


Jenis multimedia yang boleh digunakan bagi penyebaran cerita sosial di atas ialah :

1. Twitter

Twitter adalah satu rangkaian sosial yang membenarkan penggunanya berkongsi cerita, kisah, kejadian yang telah berlaku atau sedang berlaku dengan menggunakan 140 huruf dalam satu masa.



2. Facebook
 
Facebook adalah media sosial yang digunakan secara meluas di seluruh negara tanpa mengira umur, agama dan bangsa. Facebook menjadi pilihan ramai kerana ia dapat menyampaikan maklumat secara cepat dan umum . Pengguna Facebook bebas mempamerkan apa sahaja yang mereka mahu termasuklah menyebarkan cerita sosial.

BBM3410Satu2019 : ETIKA PENULISAN BLOG

           Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam buku Eh Media Sosial oleh Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019), etika penulisan   blog yang pertama ialah menggunakan tajuk yang boleh menarik perhatian pembaca. Tajuk yang biasanya mencuri perhatian umum ialah tajuk yang dimulakan dengan perkataan tips, teknik, cara melakukan sesuatu, pengalaman dan sebagainya. Tajuk tersebut juga mestilah mudah dicari, disebut, sesuai dan ringkas iaitu tidak melebihi 10 patah perkataan. Tajuk yang panjang berjela menyebabkan pembaca hilang minat untuk membuka blog berkenaan apatah lagi untuk membacanya sehingga ke perkataan terakhir.


Etika penulisan blog yang kedua ialah memasukkan cerita menarik yang dapat menarik perhatian pembaca. Antara cerita yang disukai oleh pembaca ialah cerita mengenai fashion, kecantikan, makanan, tempat-tempat pelancongan dan pelbagai lagi. Setiap cerita ini boleh disertakan dengan gambar yang bersesuaian.


Etika penulisan blog yang ketiga ialah memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk menjadikan blog lebih menarik. Penulis yang diikuti ramai ialah penulis yang mampu menyelitkan sedikit jenaka yang mencuit hati lebih-lebih lagi dalam penulisan santai. Penulisan yang sarat dengan maklumat dari awal hingga akhir menyebabkan pembaca cepat bosan dan segera ingin keluar dari blog tersebut.


Etika penulisan blog yang seterusnya ialah mempunyai hujah yang terbaik yang berjaya menyakinkan pembaca. Penulis perlu memastikan setiap penulisannya disertakan dengan hujah yang boleh diterima supaya segala apa yang ditulis tidak diragui dan dipersolkan kelak. Oleh itu, penulis blog tidak boleh sewenang-wenangnya menulis.


Etika penulisan blog yang kelima ialah mengaitkan penulisan dengan berita terkini. Hal ini demikian masyarakat pada era kini lebih gemar membuka blog-blog yang terdapat di google menggunakan gadget untuk mengetahui berita semasa dan terkini berbanding menelaah akhbar yang semakin lama semakin kurang pembelinya. Maka, penulis perlu mengetahui isu-isu terkini dan mengulas kembali dalam blog mereka.


Etika penulisan blog yang keenam ialah menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.  Penulis digalakkan menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh semua pembaca yang terdiri daripada latar belakang dan tahap pendidikan yang berbeza. Hal ini demikian kerana apabila penulis menggunakan perkataan atau istilah yang sukar ia mungkin boleh mengelirukan pembaca. Penulis juga mesti menggunakan ayat ringkas iaitu ayat yang mengandungi satu subjek dan predikat.


Etika penulisan blog yang ketujuh ialah menghasilkan penulisan yang dapat dibaca dan difahami. Penulisan yang baik ialah penulisan yang hanya mengandungi satu idea dalam satu perenggan. Idea tersebut disampaikan dengan menggunakan ayat yang pendek kerana ayat demikian mudah difahami. Jika penulis menyumbat banyak perkataan dalam satu ayat ia secara tidak langsung dapat menjejaskan pembacaan pembaca.


Etika penulisan blog yang seterusnya ialah sentiasa berkomunikasi dengan pembaca. Seseorang penulis akan disegani ramai apabila penulis tersebut bersedia menjawab semua soalan yang diajukan oleh pembaca blog mereka di bahagian komen. Tindakan ini membantu pembaca memahami dengan lebih mendalam berkenaan maklumat yang disampaikan penulis. Hal ini juga secara tidak langsung membantu penulis memperoleh kenalan baru.

Etika penulisan blog yang terakhir ialah  blog mestilah berilmu untuk penulisan pendidikan. Hal ini membawa maksud penulis adakalanya perlu menulis blog yang bersifat ilmiah atau lebih bersifat pendidikan. Penulisan tersebut dapat mendidik masyarakat sekaligus dapat dijadikan rujukan oleh golongan yang memerlukan terutamanya pelajar di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Friday, 20 September 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM

Lagu & Lirik : Profesor Dr. Normaliza Abd Rahim
Hak Cipta : Universiti Putra Malaysia



Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam
Untuk dia
Untuk saya

Terima Kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima Kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya


   

BBM3410Satu2019 : DIRI

Assalamualaikum.

Nama saya ialah Nurul Nadhirah binti Mohamad Sahabudin. Saya berasal dari Kelantan iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya dilahirkan pada 17 Oktober 1996 di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan kini berumur 23 tahun. Saya merupakan anak pertama daripada lima orang adik-beradik.

Pada peringkat awal, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Hamzah 1. Pada peringkat menengah pula saya bersekolah di Maahad Syamsul Maarif Perempuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Machang. Seterusnya saya menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, saya merupakan pelajar tahun akhir dalam jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu.

Pada semester ini, saya diwajibkan mengambil subjek Multimedia Dalam Bahasa sebagai subjek wajib untuk melengkapkan jam kredit pengajian. Subjek ini diharap dapat membantu saya yang buta IT menjadi seorang insan yang secelik-celiknya dalam bidang IT.



BBM3410SATU2019: KETIKA DAN KALIMAT

Assalamualaikum. 🌸Pada semester akhir di Universiti Putra Malaysia saya dan rakan seperjuangan Bahasa dan Linguistik Melayu (BLM) yang ...